Tuesday, June 25, 2019

Bercerai Susu

Arifah datang mendekati mama dan terus baring di ribaan. Letaknya serba tidak kena. Dia toleh ke kanan, kemudian pusing ke kiri. Mukanya digeselkan ke dada mama sambil tangan mulusnya meraba muka mama.

"Mama, nak hisap susu", Arifah mula merengek perlahan.

Aduh, inilah salah satu cabaran dalam bercerai susu! Ujian emosi yang maha berat untuk kedua-dua ibu dan anak dan ini minggu kedua.

Manakan tidak, genap dua tahun "bonding" istimewa ini dibaja dan dijaga. Malah, dari alam rahim lagi "chemistry" unik ini mula tercipta. Subhanallah!

"Arifah nak susu, ya? Nanti mama buatkan dalam cawan, lepas tu minum guna straw", mama cuba menukar topik.

"Arifah nak susu mama", nadanya semakin sayu di situ. Riak mukanya apatah lagi

Allah, kuatkan kami ya Allah!

"Arifah, mama minta maaf, ya sayang. Mama rasa pedih sangat kalau Arifah hisap susu mama. Sakit. Nanti luka lagi, keluar darah", mama cuba menjelaskan seringkas yang mungkin.

Mama memberitahu keadaan yang sebenar. Memang setiap kali anakanda kecil ini menghisap, pedih & perit itu amat dirasai.

Mama pasti, keadaan ini merupakan salah satu kesan perubahan hormon dan berlaku setiap kali mama disahkan hamil. Kawasan areola menjadi kering dan mudah merekah seolah-olah pelembap semulajadi sudah tidak dirembeskan lagi oleh kelenjar Montgomery.

Nursing butter kini menjadi teman akrab mama. Pro-vitamin B5 yang terkandung di dalamnya ternyata dapat membantu menghasilkan sel kulit baru yang lebih sihat dengan lebih cepat.

Mama merangkul erat tubuh mungil Arifah. Berkali-kali mama mencium wajah dan kepala Arifah. Semoga Arifah mengerti bahawa Arifah tetap mama sayangi seperti sebelumnya dan sampai bila-bila.

Jauh di sudut hati, mama menangis sambil mengharap agar Allah kurniakan kebijaksanaan kepada Arifah dalam menangani situasi sukar ini.

Mama yakin dan percaya bahawa Arifah memahami setiap tutur kata mama meskipun umur Arifah baru sahaja mencecah dua tahun. Arifah budak bijak.

Jiwa kita satu dan perasaan kita senada, nak. Ini istimewanya hubungan antara ibu dan anak yang menyusu susu badan ibunya. Jadi, mama dan Arifah pasti mampu mengharunginya bersama-sama!

Mujur, Arifah tidak membentak-bentak tatkala keinginannya tidak dipenuhi. Mama tahu, Arifah sudah kenyang sebenarnya. Masakan tidak, hampir sepinggan nasi berlauk ikan yang mama hidangkan tadi sudah selamat beradu di dalam perut Arifah.

Seronok sekali si kecil ini menghadap hidangan makan malamnya bersama-sama seluruh ahli keluarga. Ditepisnya tangan mama sewaktu mama mahu menyuapnya.

"Arifah nak makan sendiri," ujarnya sambil mengalih sendiri pinggan My Little Pony lebih rapat menghampiri tubuhnya.

Selesai makan malam, mama membiarkan Arifah, abang dan kakak-kakaknya bermain di ruang tamu lebih kurang selama setengah jam. Riuh  rendah suara empat beradik ini bermain memecah keheningan malam.

Sudah menjadi rutin keluarga, sebelum tidur, semua orang akan minum segelas susu.

Arifah memandang susu di dalam gelasnya. Disedutnya perlahan-lahan susu formula yang mama bancuhkan. Rasa dan kandungannya tentulah tidak akan pernah sama dengan susu mama. Akan tetapi, inilah hakikat yang perlu ditelan.

Selesai minum, mama mengajak Arifah, abang dan kakak-kakaknya ke bilik air untuk menggosok gigi seterusnya bersedia untuk tidur.

Jika dulu susu mama yang mendodoi Arifah hingga Arifah terlena, kini hanya dakapan mama dan tepuk-tepuk manja menjadi pengganti.

Durasi dodoi kali ini lebih lama kerana tiada lagi oxytocin si hormon cinta dan endorphin si hormon bahagia yang dapat disalurkan secara terus daripada mama kepada anak kecil ini.

5 minit berlalu.
Mama cuba.
Arifah juga mencuba.

Selepas hampir 15 minit, barulah tertutup kedua-dua mata buah hati mama ini. Alhamdulillah.

Sayu sungguh rasa di hati, namun sangat bersyukur kerana Allah beri peluang kepada mama untuk menunaikan hak Arifah sepanjang tempoh dua tahun ini.

Dua tahun yang penuh onak dan ranjau.
Ironinya, ia juga dua tahun yang amat membahagiakan kita.

Arifah tahu, dua minggu pertama selepas mama melahirkan Arifah, mama terpaksa berlagak seperti katak pekak? Orang sekeliling berterus-terusan memujuk mama supaya menyuap susu formula kepada Arifah.

"Biar cepat sikit turun bacaan serum bilirubin itu".

"Tak kesiankah, tengok anak kena cucuk untuk ambil darah selang sehari?"

Tak kurang juga yang mencadangkan supaya mama titiskan ke dalam mulut Arifah air perahan anggur, herba cina dan "ubat" khas yang boleh dibeli dari sebuah klinik tersohor.

Bukan mama tak tahu, sudah berapa ramai bayi yang menerima "ubat kuning" klinik tersohor itu sudah terpaksa dimasukkan ke wad NICU kerana komplikasi-komplikasi yang pelbagai. Ajaibnya, semua berita itu disenyapkan kerana yang terlibat itu adalah klinik tersohor.

Disuruh juga supaya mama mandikan Arifah dengan pelbagai jenis mandian herba untuk menghilangkan kuning.

"Maknya kenalah ikhtiar", kata mereka.

Ikhtiar sebegitukah yang mereka maksudkan? Oh, tidak sekali-kali mama akan melukakan usus Arifah yang masih belum matang dengan semua bahan itu! Lagi pun, tiada indikasi klinikal yang kukuh untuk mama melakukan sedemikian.

Mama pekakkan telinga. Hanya kata-kata daripada konsultan penyusuan IBCLC ini yang tersemat kukuh dalam minda mama.

"Dalam salur pemakanan bayi yang baru lahir, Allah jadikan protective lining yang sangat hebat. Lapisan ini menjadi benteng daripada serangan kuman. Semua benda selain daripada susu ibu akan "menghakis" lapisan pertahanan ini. Apa akan jadi kemudiannya? Bayi kecil ini berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan kuman".

Mama yakin, titisan-titisan emas yang tak ternilai ini jauh lebih mujarab buat anak-anak mama. Di usia sebegini, usus bayi hanya mampu menyerap susu ibunya secara sempurna, bukan bahan lain.

IgM, mana nak cari segala antibodi ini kalau bukan dalam susu ibu? Walau sehebat mana penciptaan susu formula yang saintis hasilkan, walau semahal mana sekalipun susu formula yang mama mampu beli, ia bukan tandingan.

Semoga setiap usaha dikira oleh Allah sebagai saham buat bekalan mama di alam sana. Amin, ya Mujib!

-11 Januari 2019-

Wednesday, May 15, 2019

Ibu, susu badan banyak tak?

Biasanya, sebelum dibenarkan discaj daripada wad selepas bersalin, selain daripada soalan "bayi dah kencing & berak atau belum?", ibu-ibu juga akan disoal dengan soalan-soalan sebegini samada oleh doktor atau jururawat:

1. Puan, susu badan keluar banyak?
2. Puan, bayi menyusu dengan baik?

Sebelum ibu menjawab kedua-dua soalan di atas, pastikan ibu faham tentang tahap-tahap penghasilan susu ibu & kandungannya serta petanda penyusuan yang efektif.

Sejurus selepas bersalin, bagaimanakah rupanya susu ibu yang terhasil? 

Kalau ibu cari susu yang berwarna putih, memang ibu takkan jumpa. Yang ada ialah titisan emas kolostrum (susu awal). Warnanya daripada jernih hingga kuning keemasan, bersifat pekat & likat dan kuantitinya sedikit. 

Dalam tempoh 24 jam selepas bersalin, dianggarkan 30ml kolostrum terhasil. Susu kolostrum biasanya terhasil hingga hari ke- 3-5 selepas bersalin. Hanya lebih kurang 1 sudu teh sahaja yang diperlukan oleh bayi pada setiap sesi penyusuan. 

Kolostrum yang kaya dengan nutrisi dan antibodi ini juga bersifat laxative (melawas). Ini dapat membantu bayi membuang najis mekonium (hitam) daripada ususnya dengan lebih pantas. 

Apakah "susu banyak" yang dimaksudkan oleh penyoal? Keluar memancut-mancut, meleleh-leleh? Oh, tak mungkin begitu kejadiannya pada hari pertama selepas melahirkan bayi. 

Jadi, soalan no.1 sepatutnya perlu difrasakan semula oleh si penyoal. Kalau tidak, nampak sangat yang menyoal tu kurang maklumat tentang kolostrum sebab susu awal yang bernama kolostrum ini memang kuantitinya sedikit. 

Tak perlu pam payudara untuk menyukat susu yang terhasil kerana kuantitinya yang sedikit itu akan terbazir melekat di corong pam & botol susu sahaja. Lakukan penyusuan secara terus (direct feeding) kerana hisapan bayi ialah stimulasi yang paling bagus untuk mengeluarkan susu ibu. Jika atas sebab-sebab tertentu direct feeding tidak dapat dilakukan, lakukan urutan payudara & perah payudara menggunakan tangan (marmet) sahaja. Tadah guna bekas yang bersih dan berikan susu perahan kepada bayi menggunakan sudu/cawan kecil/picagari.

Secara psikologinya, memang pun soalan no.1 ini sedikit sebanyak akan mengundang stress buat ibu yang belum punya pengalaman & ilmu mendalam tentang penyusuan susu ibu. Sesetengah ibu akan mula menggelabah apabila melihat kolostrum yang sedikit ini dan mulalah mengaitkan setiap tangisan bayinya itu dengan "susu badan tak cukup" hingga memberikan susu formula kepada bayi. 

Apa yang penting di sini, teruskan saja menyusukan bayi dengan betul dan tenang. Kalau tak pasti tentang posisi atau teknik lekapan (latching), jangan malu jangan segan untuk panggil jururawat/doktor untuk dapatkan kepastian. Jika mereka juga tak pasti atau sibuk, mohonlah untuk dirujuk kepada kaunselor daripada Unit Laktasi di hospital tersebut dengan segera kerana mereka lebih arif & berpengalaman untuk membantu.

Buat para ibu, tolong & tolonglah selesaikan bab posisi & lekapan sebelum pulang ke rumah, ya. Ini juga boleh menjadi jawapan kepada persoalan no.2. 

Posisi & pelekapan yang efektif akan menghasilkan penyusuan yang efektif. Apabila penyusuan yang efektif terjadi, barulah bayi dapat menikmati segala khasiat dalam susu ibu, bayi akan kenyang, bayi akan kencing berak dengan lawas dan membantu berat badannya bertambah dengan kadar yang baik.

Yang sebaliknya akan berlaku jika posisi & pelekapan tidak dibuat dengan betul. Malah, ibu juga mungkin akan berhadapan dengan puting melecet/luka jika perkara ini tidak diatasi dengan baik. Oh, pedih & sakit tu! 

Buat para petugas kesihatan, seelok-eloknya, banyakkan menggunakan soalan berbentuk terbuka (open ended question) apabila membuat clinical assessment tentang penyusuan susu ibu & lebih baik anda melihat sendiri cara ibu menyusukan bayi untuk mengenalpasti sebarang masalah yang boleh dibantu, bukan sekadar bertanyakan jawapan "ya atau tidak".

Siapa pun kita, semoga kita semua menjadi ejen yang membantu merealisasikan penyusuan susu ibu, bukan ejen yang membantutkan. ✌💪

Friday, May 10, 2019

My 5th Birth Story

Coret-coret pengalaman bersalin kali kelima, buat kenangan. Awas, entry ini sangat panjang! Jangan baca kalau tak mampu bersabar 😜

Tarikh jangkaan bersalin (EDD) ialah 13.5.19. Kalau ikut tarikh ini, sempatlah mama berpuasa lebih kurang seminggu. Jadi, tak banyak sangat nak kena ganti puasanya.

Tapi, mama memang tak menaruh harapan yang tinggi. Naluri mama asyik berkata, mama akan bersalin awal daripada tarikh jangkaan. Anak pertama, kedua & keempat lahir awal daripada EDD. Anak ketiga pula lahir 6 hari lambat daripada EDD. Yang kelima ni, mungkin awal juga.

Lebih kurang jam 10 pagi Jumaat 3.5.19, ada show lendir bercampur darah keluar. Tak banyak, tapi sentiasa ada. Hah, sudah! Ini tanda-tanda awal mama akan bersalin dalam waktu terdekat! Masih belum ada kontraksi yang dirasakan pada waktu ini.

Mama meneruskan rutin membuat kerja-kerja rumah seperti biasa. Waktu macam inilah rasa macam semua benda kita nak buat. Tiba-tiba panjang pula to-do-list! Haha.. Dahlah kerja pejabat berlambak & orang atasan nak siapkan segera.

Berendam air mata jugalah memikirkan hal kerja yang belum siap ni. Huhu.. Akhirnya, pagi Sabtu, mama gagahkan diri ke tempat kerja, mengadap komputer untuk membuat maklumbalas yang diminta. Buat setakat mampu sahaja. Nak selesaikan dengan sempurna sudah tiada kudrat kerana urat sudah habis tegang, kaki sudah mahu cramp. Akhirnya, mama menyerah.

Tengaharinya, mama pulang ke rumah, menyiapkan labor bag & sambung kemas rumah bersama baba untuk menyambut kedatangan ahli baru. Perancangan kami, petang nanti mama akan serah diri di hospital USM.

Anak sulung & kedua sudah pun dihantar ke rumah tokbah & tokmanya bersama beg & baju seragam sekolah. Anak ketiga & keempat masih ada di rumah bersama mama & baba, perlu disiapkan bersama keperluan mereka untuk dihantar ke rumah nenek.

Punyalah lama bersiap, akhirnya, petang berganti malam dan kontraksi masih belum kunjung tiba. Anakanda berdua sudah pun tertidur.

"Abang, kita tunggu sakit je la, baru pergi ke hospital", ujar mama kepada baba seraya meletakkan kepala di atas bantal untuk beradu untuk melepaskan lelah, penat fizikal & mental.

Jam 12 tengah malam, mama terjaga daripada tidur. Ada terasa sakit kontraksi menjengah. Mama cuba sambung tidur kembali, namun tersedar semula lebih kurang setengah jam kemudian. Terasa mahu membuang air besar & kecil juga.

"Abang, contraction dah makin regular ni. Jom, kita ke hospital", mama mengajak baba.

Selesai mandi & solat sunat, pada jam 2 pagi yang hening kami berempat keluar dari rumah menuju ke rumah nenek & seterusnya ke hospital. Seluar bersalin mesra aurat MamaPride sudah mama pakai siap-siap di sebelah dalam.

Sepanjang perjalanan, apps Contraction Counter dihidupkan untuk merekod setiap kontraksi yang dirasa sambil mulut dan hati tak henti berdoa agar Allah ampunkan segala dosa kami, mudahkan urusan kelahiran & mama dan baby selamat.

Sementara mama diperiksa oleh nurse dan doktor di PAC, baba menguruskan urusan pendaftaran di bahagian kecemasan. Pada waktu itu, semua doktor yang berada di PAC & labor room ialah HO. Ada empat orang semuanya.

"G berapa ni?", tanya HO perempuan kepada HO lelaki yang clerk case mama.

"G6 P4+1", jawab HO lelaki tersebut sambil tersenyum.

"Oh, wow!", HO perempuan itu sedikit teruja.

"Nurse, kalau boleh saya nak request female staff untuk VE & conduct delivery", sehabis sopan mama menyusun ayat memohon pertimbangan.

"Patient requests for female staff, Dr", jururawat memberitahu HO lelaki yang clerk case mama tadi.

"Sure, boleh. Saya clerk case je. Nanti Dr perempuan yang akan buat VE", huh, lega sedikit mama mendengar penjelasannya.

"Eh, puan belum tanggalkan seluarnya ya?", terkejut si doktor melihat masih ada seluar panjang di dalam kain yang mama pakai.

"Tak apa, doktor. Ini memang seluar bersalin. Ramai je patients yang pakai seluar ni sekarang. Tanggalkan sahaja penutup di tengah tu sebelum buat VE. Dah selesai, tutup semula", panjang lebar akak misi menerangkan kepada doktor muda tentang pemakaian MamaPride.

"A'ah, doktor. Ini kali kedua saya bersalin pakai MamaPride", tambah mama. Alhamdulillah, tak perlu cerita panjang-panjang sebab kebanyakan staf labor room dah kenal MamaPride.

Si doktor HO perempuan cek jalan
"Bukaan OS baru 3cm but stretchable", terangnya ringkas.

"Puan, lepas ambil darah ni, kita scan ya. Sementara tunggu nak scan tu, saya rasa bukaan akan jadi 4cm", katanya lagi.

Ultrasound scan akan dilakukan oleh MO. Jadi, perlu tunggu MO sampai dahulu baru boleh buat. Tunggu punya tunggu, contraction dah 1 in 5, kemudian 1 in 3. Fuhh, mendebarkan! Tapi mama kena kekal tenang tau.

Suasana tenang di ruangan menunggu labor room serba sedikit membantu mengurangkan kesakitan mama. Pada saat itu, selain mama, hanya ada seorang pesakit yang sedang bertarung dengan kesakitan di dalam labor room no.1. Tak pernah mama lihat labor room HUSM selengang ini! Katanya, wad post natal pun agak kosong.

Hampir sejam menunggu, MO perempuan berbangsa India akhirnya sampai juga untuk melakukan scan. Anggaran berat bayi ialah 3kg. Parameters lain semuanya normal, alhamdulillah. AFI (kandungan air ketuban) sudah berkurang iaitu 7. Apabila jalan dicek, bukaan OS sudah pun 4cm.

"Ok, boleh prepare ke labor room ye, puan", ujar MO tersebut sebelum berlalu pergi.

Jam sudah pun menunjukkan jam 5.30 pagi, tak lama lagi azan subuh akan berkumandang. Mama memaklumkan kepada doktor & jururawat bahawa mama mahu solat subuh terlebih dahulu sebelum melangkah masuk ke labor room.

"Puan ok lagi ke nak solat tu?", soal jururawat tadi.

"Ok lagi, Insha Allah. Lagi pun beberapa minit sahaja lagi nak masuk waktu subuh", mama memberikan keyakinan.

"Ok puan, kalau macam tu, sebelum puan ke tandas, saya masukkan enema dululah ye", ujar jururawat sebelum mengarahkan mama untuk baring sekejap bagi memasukkan Ravin enema.

Selesai qadha hajat & berwudhuk, mama bentangkan kain batik bersih di atas lantai ruang menunggu bilik scan untuk menunaikan solat. Pakaian yang mama pakai pun memang dah solat-ready, jadi tak perlu susah-susah mencari telekung.

Solat sudah, berdoa pun sudah, alhamdulillah. Tiba masa untuk mama ke medan sebenar berbekalkan tawakkal. Allahu Allah..permudahkanlah!

Prosedur pertama dilakukan dalam labor room ialah doktor memasukkan CBD untuk membuang air kencing yang masih berbaki di dalam pundi kencing mama. Aduh, pedih rasanya!

Kemudian, doktor memaklumkan akan melakukan ARM untuk pecahkan ketuban. Seriau sekali bunyinya sebab selepas selepas ketuban pecah, kontraksi pasti akan menjadi semakin kerap & kuat.

"Membrane is not bulging. I'm not sure dah pecah ke belum sebab still tak dapat rasa rambut baby. Awak try pulalah", kata doktor pelatih perempuan kepada seorang lagi doktor pelatih perempuan yang bergandingan dengannya.

"A'ah la, macam tinggi lagi je. Ke, sebab jari tangan saya yang pendek? Tapi yang keluar ni macam liquor dah cuma tak banyak. Kita minta boy la pula cek untuk confirmation. Jari tangan diorang panjang sikit", si doktor kedua memberi pandangan seraya memanggil HO lelaki berbangsa cina yang berada di kaunter labor room.

Mama sudah makin cuak. Sementara doktor lelaki sampai, seorang jururawat perbidanan memeriksa ketuban terlebih dahulu.

"Akak rasa dah pecah sebab dapat rasa rambut bayi. Lagi pun AFI dia 7 je tadi, Tak banyak. Tapi, betul, kedudukan masih tinggi", ulasnya.

Datang si doktor lelaki untuk membuat pengesahan, "Maaf ya, puan. Ya, saya pun rasa dah pecah".

Duhh, sampai 4 orang seluk untuk mengesahkan ketuban sudah pecah ke belum! Mereka akhirnya bersepakat bahawa ARM berjaya dilakukan lebih kurang pada jam 6.30 pagi.

Mama meminta jururawat memanggil baba masuk untuk menemani di saat-saat kritikal ini. He is my real doula, now for the 5th time!

Sambil tangan baba mengurut kaki, tangan, pinggang & belakang mama, mulut baba membaca ayat-ayat suci daripada Surah Maryam. Moga kekuatan Maryam mengalir ke dalam diri mama.

Saat mama cuba menenangkan diri dengan mengawal teknik pernafasan sewaktu sakit kontraksi memuncak, baba cuba membantu mama untuk meregangkan otot-otot.

Banyak kali juga mama mengubah posisi mengiring ke kanan, kemudian terlentang dan mengiring ke kiri pula dalam cubaan mengurangkan rasa sakit.

"Abang, sakiiit", mama berbisik perlahan.

"Sabar ya, sayang. Sikit je lagi, Insha Allah", baba cuba memberikan semangat.

'Laa ilaaha illa anta, subhaanaka inni kuntu minadzoolimiin'..'Allaahumma robbi yassir wa laa tu'assir, robbi tammim bilkhair'..

Doa-doa ini berulang kali meniti di mulut dan hati mama. Beberapa kali mama memejamkan mata sambil dalam kepala cuba membayangkan keseronokan berjumpa dengan zuriat yang selama ini dikandung.

'Mama tak sabar nak jumpa baby, peluk cium baby'

Doktor-doktor pelatih silih berganti keluar masuk bilik bersalin untuk monitor CTG dan skala kontraksi. Mereka diam menafsirkan graf yang terlakar, kemudian berlalu pergi meninggalkan hanya mama & baba di dalsm bilik itu.

Di hujung satu kontraksi yang amat panjang, mama berasa seolah- olah mahu meneran.

"Abang, tolong beritahu doktor, sayang rasa nak push", pinta mama & baba terus keluar mendapatkan doktor.

"Puan betul-betul rasa nak push dah ke?", soal si doktor muda memohon kepastian.

"Tadi ada rasa nak push", jawab mama.

"Mari saya periksa dulu bukaannya", respon doktor.

"Hmm, baru 7cm ni, puan. Belum masanya lagi", katanya lagi sebelum berlalu pergi.

Allah..

Jarum jam di dinding bilik bersalin seakan lambat berganjak. Sabar, mama..bertenang. Pejamkan mata & layankan saja gesaan itu. Baba tak henti-henti memicit lembut kaki & tangan mama. Kemudian, baba merehatkan jari-jari tangannya barang sepicing dua sebelum menyambung kembali tugas yang tergendala.

"Abang, kali ni sayang betul-betul rasa nak push. Abang tolong panggilkan doktor", pinta mama buat kali kedua.

"Ok, sayang. Abang panggil", balas baba.

Doktor pelatih perempuan tadi masuk semula memdekati mama.

"Puan betul-betul rasa nak teran dah ke?", soalnya.

"Iya, doktor", jawab mama ringkas.

"A'ah, dah nampak kepala baby ni. Puan, kangkang dan rapatkan kaki ke punggung ya. Tangan pegang kemas-kemas pada pergelangan kaki. Kalau puan ada rasa nak teran, rapatkan dagu ke dada dan teran", begitu arahan doktor.

Mama hanya mampu mengangguk. Saat itu juga terasa mahu meneran.

"Ok puan, teran panjang lagi puan, panjang lagi puan, jangan berhenti!", pesan doktor.

Tapi, mama terpaksa berhenti juga beberapa saat untuk mengambil nafas baru.

"Ok puan, bagus..teran lagi, kepala dah keluar. Sekali lagi puan", tu dia pasukan sorak sudah mai.

"Sayang, jangan angkat punggung ya", baba juga menitipkan pesan.

Beberapa saat selepas itu, tepat jam 8.10 pagi tanggal 5.5.19, kedengaran tangisan bayi yang pertama di labor room HUSM.

"Allahu akbar! Alhamdulillah", itu ucapan mama selepas zuriat kelima kami dilahirkan.

"Alhamdulillah, terima kasih sayang", ucap baba sambil tersenyum lebar.

"Puan, bayi lelaki ke perempuan?", tanya jururawat sambil menayangkan bayi kepada mama.

"Lelaki", jawab mama tersenyum walau dalam keletihan.

Badan bayi dilap dahulu sebelum diletakkan ke atas dada mama untuk skin-to-skin.

"Ayahnya dah boleh azan di telinga bayi, ya. Puan dakap bayi kemas-kemas, ya. Kita nak keluarkan uri pula. Kalau puan rasa nak teran, puan teran macam tadi", ujar doktor.

Setelah perut mama digerak-gerak, digoyang dan ditekan, uri akhirnya keluar dengan elok. Bayi pula senyap dalam dakapan mama. Hampir saja betis kanan mama mahu kejang sewaktu meneran tadi. Alhamdulillah, kini semuanya sudah selamat.

Jururawat menyuntik ubat Syntometrine di peha kiri mama melalui lubang khas yang dibuat pada seluar MamaPride manakala dua orang doktor pelatih perempuan tadi memeriksa semula laluan peranakan.

"Intact ke, doktor?", soal jururawat.

"Intact perineum", jawabnya.

Alhamdulillah, lega satu bab.
Terima kasih, ya Allah!

Tak lama selepas itu, mama & bayi disorong ke post natal ward 2 Topaz kerana wad korporat 2TD sudah penuh.

Memandangkan ini kelahiran yang kelima, mama perlu menerima drip yang mengandungi Pitocin dan dimonitor selama 12 jam untuk sebarang tanda pendarahan selepas bersalin (Post partum hemorrhage).

Alhamdulillah, setelah doktor bahagian O&G dan Paediatric mengesahkan bahawa mama & bayi sihat tanpa sebarang komplikasi, mama & bayi dibenarkan pulang pada lewat petang hari yang sama.

Welcome home, baby boy!
Jom, kita sambut Ramadan sama-sama!

Wednesday, August 1, 2018

World Breastfeeding Week 2018

Ni haa..ceq nak habaq mai! Selain raya puasa & raya haji, kita juga merayakan minggu penyusuan, tau. Nampak kan, betapa pentingnya penyusuan susu ibu ni? Siap ada sambutan keraian selama seminggu tuuu!


Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia ini diraikan pada minggu pertama bulan Ogos setiap tahun. Pada tahun ini, temanya ialah "Penyusuan Susu Ibu: Asas Kehidupan"

Dalam dunia menghadapi kemelut ketidaksaksamaan, krisis dan kemiskinan, penyusuan susu ibu adalah asas kehidupan sihat berpanjangan untuk bayi dan ibu kerana penyusuan susu ibu:
  1. Dapat menghindarkan kelaparan dan ketidakseimbangan nutrisi dalam segala bentuk
  2. Boleh memastikan kebolehdapatan makanan untuk bayi walaupun dalam keadaan krisis.
  3. Merupakan kaedah pemakanan berkos rendah dan boleh menyumbang kepada pengurangan kadar kemiskinan tanpa beban tambahan pendapatan keluarga. 
Sungguh, Allah itu Maha Hebat!
Sepandai-pandai manusia, belum ada yang mampu menghasilkan susu seumpama susu ibu yang sangat unik ini. 

Sama-samalah kita mengambil peranan dalam menjayakan penyusuan susu ibu kerana susu ibu itu sangat banyak manfaatnya. 





Wednesday, July 11, 2018

Jurnal Kesyukuran (Journal of gratitudes)

Sudah lama benar jurnal syukur saya tertangguh. Hari ini kita "resume", ok?

Kalau tak menulis dalam jurnal ni, bukanlah bermakna kita tak bersyukur. Tapi, ikut pengalaman sendiri, "feel" itu amat berbeza jika kita terjemahkan dalam bentuk tulisan.

"Dan (ingatlah juga) tatkala Tuhanmu memaklumkan: Jika kamu bersyukur, nescaya akan Aku tambah lagi (nikmat) kepadamu. Dan sekiranya kamu kufur, maka ingatlah bahawa azab siksaKu amatlah berat"
[Surah Ibrahim; ayat 7]

Saya mula belajar menulis tentang kesyukuran daripada para master coordinators Shaklee. Mereka bukan setakat berkongsi tentang cara-cara nak buat sales, tapi mereka juga menerapkan betapa pentingnya kita beri makan kepada ruhani kita agar kita dapat terus membantu orang lain. Terima kasih, sifoo!

Sebelum ini, saya memang tak pernah tahu dan tak tak pernah praktis pun menulis tentang syukur ni. Malah, tak terfikir pun kenapa aku perlu tulis jurnal old skool punya style ni. 

Rupa-rupanya, apabila dah mula buat, barulah saya nampak sendiri impaknya. Sekurang-kurangnya, kalau waktu tu tengah gundah gulana, apabila dah nyatakan kesyukuran, barulah nampak betapa banyaknya rezeki dan nikmat yang sedang saya kecapi berbanding masalah ciput yang membelenggu saya pada waktu itu. 

Apabila dah sedar tentang ini, mestilah saya akan bangkit semula. Betul, buang karan je sedih lama-lama, stress sorang-sorang. Tak gitu? KIta Muslim, kita ada Allah tempat kita bersandar. Apa sahaja ujian yang Dia berikan, pastinya ada jalan keluar yang Dia sediakan. Berusahalah, berdoalah dan bertawakallah! Dia takkan pernah mensia-siakan permohonan hambaNya, insha Allah. 

Ok, bagaimana nak tulis jurnal kesyukuran?

Mula-mula, carilah satu buku khas yang agak-agak lawa sikit dan boleh menginspirasikan kita. Lepas tu, bolehlah hias cantik-cantik supaya kita tak jemu nak hadapnya setiap hari. 

Kemudian, mulalah menulis kesyukuran kita. Tiada format khas sebenarnya..free style je. Ikut sukalah nak guna ayat puitis ke, ayat wicet ke asalkan kita faham apa yang kita tulis.

Kalau saya, saya senaraikan 10 sebab kenapa saya kena bersyukur pada hari ini. 

Nak buat ayat pendek atau panjang, terpulanglah kepada diri masing-masing. Nak tambah lagi sampai 20, 30 pun boleh. Yang penting, apa yang ditulis itu datangnya ikhlas dari hati. 

Buatlah setiap hari. Moga-moga cara ini sedikit sebanyak dapat menambahkan ketakwaan kita kepada Allah, kita sedar betapa kerdilnya kita dan Maha Agungnya Dia Rabbul Jalil. 

Alhamdulillah thumma alhamdulillah :) 

Selamat beramal!

Kak AC,
HambaNya Yang Hina.

Saturday, June 23, 2018

10 Tips Tingkatkan Selera Makan Anak

ANAK TAK NAK MAKAN, MAK RASA DOWN, RASA BERSALAH
Yezzaa! Memang mencabar sangat bagi ibu kalau ank tak nak makan. Kak AC pun pernah ada pengalaman macam ni dengan anak sulung dulu.
Perasaan tu memang tak tahulah nak gambarkan macam mana. Kita jadi sedih & rasa bersalah sangat-sangat.
"Teruk sangat ke masakan aku ni sampai anak pun tak lalu nak makan?"
"Nak masak apa lagi nak bagi dia makan ni?" 😭
Episod kejar mengejar nak suap makan tu memang normallah pada masa tu. Akhirnya, sedih & kecewa apabila anakanda terus menutup mulutnya serapat-rapatnya.
Alhamdulillah, mujurlah mama ni masih ada secebis kesabaran & tak mudah give up hinggalah selera makan anak bertambah baik & berat badan anak naik cantik.
Di bawah ni Kak AC nak share 10 tips yang Kak AC amalkan. Semoga bermanfaat! Baca sampai habis tau 😉
1. Ubat cacing.
Sebenarnya, kurang selera makan, tak naik berat badan merupakan antara simptom-simptom kecacingan.
Kalau boleh pergi klinik, bincang dengan doktor tentang keperluan makan ubat cacing. Kalau anak tak boleh telan ubat cacing klinik kerajaan, bolehlah beli sendiri di kedai farmasi. Sekarang ni ada ubat cacing perisa coklat juga tau.
Jika confirm anakanda ada masalah cacing, lepas dah bagi ubat cacing, biasanya selera makannya akan meningkat.
2. Vitamin.
Kemudian, bolehlah berikannya multivitamin terutamanya yang mengandungi lysine utk bantu tingkatkan selera & top-up segala vitamin yang kurang dalam badan.
Kalau badan tak cukup zat, anak akan mudah demam, senang kena jangkitan kuman. Lagilah susah nak makan apabila jatuh sakit, huhu..
Nak ikhtiar dengan Shaklee pun boleh sangat. Kita ada Meal Shakes, minuman protein berkhasiat, bervitamin & mineral, perisa vanilla, boleh bancuh skali dengan minuman anak mcm susu/minuman coklat/buat aiskrim/smoothies etc.
3. Pelbagaikan menu
Kak AC cuba juga pelbagaikan menu masakan sebab nasi dia memang kurang gemar. Try punya try, finally, memang jumpa makanan yang dia suka; mee, bihun, pasta, laksa. Haaa, yang jenis-jenis ni memang sangat jarang dia tolak. Asalkan ada sumber karbohidrat untuk ganti nasi ok la kan?
4. Finger foods
Usahakan juga buat finger foods yang anak boleh pegang & suap sendiri macam home made nuggets, home made fishballs, cekodok etc.
Selain dapat rangsang motor skills anak dengan memegang & menyuap sendiri makanan, finger foods juga boleh dibuat dalam pelbagai bentuk yang menarik bergantung kepada kreativiti masing-masing. Nak masukkan sayur skali dalam tu pun boleh.
5. Ubah suasana
Tindakan yang berbeza akan memberikan hasil yang berbeza. Kita yang dewasa ni pun, kalau makan di hotel, mesti rasa macam syoknyalah kan? Padahal makanan itu juga yang kita hadap di rumah.
Begitu juga dengan anak-anak. Kadang-kadang kita perlu cipta mood yang berbeza juga untuk tingkatkan selera makannya.
Sekali sekala, berkelah di halaman rumah itu lebih menggembirakan. Makan pun bertambah-tambah jadinya.
Selalu juga la Kak AC berlakon jadi karakter-karakter kartun untuk attract anak makan. Dah hafal dah segala skrip kartun tu. Over expression tu biasa, haha 😄
Semasa nak suap tu, bolehlah minta dia berlakon utk dia suap teddy bear/baby doll juga.
Lagi satu, selalunya budak-budak akan lagi berselera klu ada kawan-kawan sebaya yg makan bersama-sama. Alah, bukan budak je macam tu. Kita pun, kan? The more the merrier.
6. Peralatan sendiri yang menarik
Kak AC & suami belikan anak-anak cawan pinggan mangkuk sudu garpu yg menarik, cthnya yg ada gambar kartun yg dia suka. Bawa dia pergi beli, biar dia pilih sndiri.
Ini juga akan menerapkan sense of belonging dalam diri anak-anak. Dia belajar jaga barang sendiri.
Sediakan juga kerusi untuk setiap ahli keluarga termasuklah baby chair / high chair untuk anak yang masih kecil di meja makan. Nanti dia sendiri yang akan request untuk duduk di kerusinya sendiri untuk makan.
7. Susu bukan ganti kepada makanan
Ini silap kita. Kebanyakan kita, makin anak tak nak makan, makin kerap berikan anak minum susu hingga 7-8 botol sehari. Hasilnya, anak akan jadi kenyang dengan susu sahaja. Sebab itulah dia tolak makanan.
Boleh bagi susu, tapi selepas anak siap makan, bukan sebelum waktu makan.
8. Puji usaha anak
Ringankan mulut untuk puji setiap usaha & pencapaiannya walaupun dia hanya telan sesuap dua sahaja. Mama take a break sekejap, lepas tu ajak lagi untuk makan.
Hugs & kisses always have magical power.
9. Sabar, doa & teruskan berusaha.
It really takes time & our courage. Allah nak uji kita. Dan Dia takkan uji klu kita tak mampu nak hadapi. Doa ibu mustajab, Insha Allah.
10. Sentiasa amalkan tips no.1 hingga 9.
Jangan lupa pekakkan telinga daripada mendengar sindiran-sindiran para makcik pakcik bawang yang boleh mengganggu-gugat usaha mama, ok. Chaiyyok!
Kak AC,
#MamaAnak4

Thursday, June 21, 2018

Kelebihan Gendong Dengan Betul

Bukan sekadar gendong. Kesan gendongan yang betul itu yang lebih berharga 😍
✔Bayi kurang menangis
✔Bayi lebih bijak
✔Tidak memberi tekanan kepada tulang belakang bayi
✔Membantu tumbesaran emosi bayi
✔Memudahkan penyusuan susu ibu

Pilihlah alat penggendong yang sesuai & selamat supaya anda & bayi memperoleh manfaat yang optimum!
---------------------------------------------------------------------
Dengan pembelian ergonomic baby carrier jenama #Tugeda daripada kami, anda layak mendapat sepasang "drool pads" comel pada harga diskaun 10% 👏👏👏
📲 WhatsApp:
013 973 9455
013 973 9455

Tuesday, November 28, 2017

5 Tips Penjagaan Penggendong Bayi


  1. Basuh - Basuh tempat yang kotor sahaja (spot clean). Lap dengan tuala basah yang bersih atau sental dengan lembut bahagian berkenaan dengan air paip sahaja. Jika perlu mengunakan sabun, guna sabun yang lembut dan tidak melunturkan fabrik. Sekiranya penggendong terlalu kotor dan memerlukan basuhan menyeluruh, basuh menggunakan tangan agar dapat memelihara jangka hayat penggendong. Jika mahu menggunakan mesin basuh, letakkan penggendong dalam net berzip atau sarung bantal berzip dan guna mode delicate cold cycle. Jangan campur dengan pakaian lain.
  2. Jemur - Sidai penggendong di tempat yang teduh, bukan secara langsung di bawah cahaya matahari untuk memelihara ketahanan fabrik agar tidak cepat lusuh.
  3. Anginkan - Anginkan penggendong jika tidak digunakan
  4. Elak - Elakkan menyimpan penggendong dalam bonet kereta. Pemeruwapan bahan kimia daripada enjin kereta serta udara panas yang terkumpul boleh merosakkan material penggendong. Risiko terkena tumpahan air bateri kereta atau buckle tersepit bonet kereta juga dapat dielakkan. 
  5. Simpan - Simpan penggendong dalam beg khas ketika berpergian supaya terpelihara daripada kotoran dan mudah dicapai apabila mahu digunakan. 

Semoga bermanfaat!

p/s: Semua SSC Tugeda didatangkan khas dengan beg penyimpanan yang sesuai..PERCUMA sahaja begnya!😊

Monday, November 27, 2017

Keluar Berdua Itu Mudah

Alangkah indahnya hidup ini jika semua urusan anak-anak dapat dilakukan bersama-sama. Kerana itulah dalam sebuah keluarga adanya ibu dan ayah untuk saling melengkapi. Namun, ada ketikanya ibu atau ayah perlu menguruskan si kecil sendirian.

Misalnya, apabila ibu atau terpaksa keluar bertugas atau tinggal berjauhan daripada ayah atas sebab-sebab tertentu, yang selalu orang istilahkan sebagai PJJ; perkahwinan jarak jauh. Nak tak nak, semua urusan bayi wajib dilakukan sendirian dari A sampai Z. Puan Mawaddah dari Negeri Sembilan & bayinya ini contohnya, terpaksa berjauhan dengan suami & anak-anak yang lain yang berada nun di Kelantan kerana tuntutan kerja.

Hujung minggu ini, beliau akan pulang ke Kelantan bersama bayi kecilnya dengan menaiki kapal terbang untuk bersama dengan ahli keluarga lain yang amat dirindui. Dah 2 bulan tak jumpa, rindu sangat, katanya. Kuatnya Puan Mawaddah! Huuu, kita kalau dua hari tak jumpa dengan anak-anak atau pasangan pun dah tak keruan..inikan pula kalau dua bulan. 

Minggu lepas, Puan Mawaddah berhubung dengan Kak AC melalui WhatsApp untuk merisik baby carrier yang sesuai buat bayi comelnya. Risau nak nak travel jauh berdua dengan bayi, luahnya. Apatah lagi ini kali pertama beliau perlu melakukan semuanya sendirian, dari turun tangga rumah hingga ke lapangan terbang dengan bagasi dan beg di kiri kanan tangan. Itu belum ditambah lagi dengan ragam bayi yang di luar jangkaan di sepanjang perjalanan.

Di akhir konsultasi, ibu muda ini memilih SSC Tugeda Air Ladybug 2 seperti gambar di bawah. Ohsem sangat, kan?
Disebabkan ini kali pertama beliau menggunakan SSC, jadi Kak AC memberikan panduan & tips-tips penting tentang penggunaan SSC. Tak lupa juga, pesanan dititipkan supaya beliau praktis memakai SSC beberapa kali di rumah sebelum tibanya hari yang dinanti-nantikan.

Jom, lihat apa pula feedback yang beliau berikan setelah mengharungi perjalanan jarak jauh dari Negeri Sembilan ke Kelantan:

''Alhamdulillah, OK Kak AC. Nasif pun behave. Tak nangis. Memang terus tidur dlm Tugeda tu je..Haha.. Alhamdulillah puas hati sangat"

Puan Mawaddah & baby Hasif yang bambam

Allah, leganya rasa! Alhamdulillah, syukur. Kerisauan terubat jua. Semoga SSC yang dibeli ini terus berjasa kepada tuannya dan menjadi satu pelaburan yang menguntungkan. Aameen. 

Saturday, November 25, 2017

Free Shipping 23/11/17 - 25/12/17

Oh yeah, cuti sekolah dah mula! 

Mesti semua ibu ayah dah plan nak balik kampung atau pergi bercuti dengan anak-anak, kan? Ada yang dah bertolak dah pun! Nampaknya semua dah tak sabar tu..

Nak jalan-jalan, jangankan anak yang dah besar, yang kecil pun mau ikut juga!

Meh, gendong baby comel tu dalam ergonomic carrier ni!

Tak ada masalah nak bawa si kecil tu naik turun flight ke, nak round taman ke, nak daki bukit ke...pakai carrier ni, ibu ayah semua confirm tak lenguh tangan, tak sakit pinggang, tak sakit bahu!

Yang paling penting, baby selamat & selesa bagai didakap erat dalam pelukan ibu ayahnya😍

Ni haaa, ada design terbaru yang kami bawakan...comey llotey!





BRAND NEW EDITION OF SSC TUGEDA iDEAL!

Tugeda Ideal : Tri90
(NEWBORN SOFT STRUCTURED CARRIER)

Apa yang MENARIK yer?

Material lembut dan ringan (100% cotton)- Permukaan tidak kasar dan tidak berat untuk memberikan keselesaan pada bayi serta mesra pada kulit bayi yang lembut.

Bayi tidak panas- Material 100% cotton digunakan lebih sejuk dan tak memerangkap haba yang menyebabkan panas dan ketidakselesaan.

Rekaan yang elegant
- agar pemakaian nampak lebih menarik.

Corak Menarik - premium class & ekslusif agar lebih bergaya di pakai.

Harga Jualan : RM330 sahaja


Ya, kos pengeposan kami tanggung!

Tempahan boleh dilakukan sekarang. 

Whatsapp ke 0139739455 (Puan Asiyah @ Kak AC).

Terima kasih.


Happy babywearing & happy holiday!

#softstructuredcarrier #ssc #newborn #ergonomic#babycarrier #tugeda #tugedaideal #babywearing#kelantan #babywearers

Monday, October 23, 2017

Kelas Penyusuan Susu Ibu Super Bf Moms 2.0

Sabtu lepas, 21 Oktober 2017 telah berlangsungnya Kelas Penyusuan Susu Ibu Super Bf Moms 2.0 yang bertempat di Bilik Seminar ITC, Kota Bharu, anjuran Super Parents' Choice. Alhamdulillah, kelas berlangsung seperti yang dirancang, bermula jam 9 pagi hingga 2 petang. 

Kali ini, peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang; ada guru-guru, ada doktor, ada pegawai farmasi dan ada juga usahawan. Kaum bapa pun hadir sama, tau. Hero-hero cilik pun ramai! Hehe.. Merekalah penguat semangat ibu-ibu, mana boleh tinggal, kan?










Antara ilmu-ilmu penyusuan yang dikongsi oleh ialah asas-asas penyusuan, penyimpanan susu ibu, pemakanan ibu menyusu, cabaran dan sokongan serta sesi praktikal yang berkaitan. Para peserta juga bertukar-tukar pengalaman masing-masing dalam mengharungi perjalanan penyusuan. 




Bertuah sungguh para peserta kerana dapat menyaksikan sendiri demonstrasi gendongan bayi menggunakan kain batik oleh Cik Puan Siti Asmawati, certified international babywearing consultant dari Anjung Ummu. Bukan tengok je, malah ada sesi praktikal juga. Buat sampai jadi, yeayy!






Kak AC doakan semoga para peserta berjaya melaksanakan misi penyusuan susu ibu dengan lebih yakin dan Allah mudahkan segala urusan. Walau apa pun cabarannya, jangan lupa, kaunselor laktasi ada di sini untuk membantu! ;)


Alamak, terlupa nak bergambar dengan AJK sebalik tabir, my love "Mr. Runner", Encik Mohd Azreen & my bro "Mr. Photographer" En. Ahmad Asyraf. Zillion of thanks to both of you for making this class a successful one! (Eh, tercakap omputeh la pulak..kikiki..)

Alhamdulillah 'ala kulli haal wa fii kulli haal.

Tuesday, September 12, 2017

Jalan-Jalan Makan Angin di Putrajaya

Penghujung bulan Ogos yang lepas, Kak AC sekeluarga bermusafir dengan kereta ke Klang untuk menghadiri walimah sepupu. Walimahnya pada hari Ahad, namun kami bertolak 2 hari lebih awal dari Kota Bharu kerana niat di hati ingin membawa ahli keluarga bersiar-siar di ibu kota. 

Beberapa minggu sebelum bertolak, encik suami Kak AC sudah menempah 2 buah studio apartment di Vertex Tower, Cybersquare, Cyberjaya. Oh, jauhnya! Kenduri di Klang tapi menginap di Cyberjaya? Alasan kami, sebab nak makan angin di sekitar Putrajaya. 

Dari Kota Bharu, kami bertolak pada jam 8 pagi dengan harapan supaya dapat sampai di KL sebelum orang kota keluar dari pejabat. Sekali, ada kesesakan lalulintas pula di Lurah Bilut. Allahu, lama sungguh kami terperangkap di situ menyebabkan kami sampai di Cyberjaya beberapa minit sebelum pukul 7 petang. 

Perancangan asal untuk bawa anak-anak mandi kolam, berendam dalam jacuzzi & bersauna di apartment pada petang Jumaat tidak menjadi kerana lewatnya tiba di tempat penginapan. Nasib baiklah apartment yang ditempah memenuhi citarasa kami. Alhamdulillah, sewanya bagi kami lebih murah berbanding hotel. RM120 sahaja untuk penginapan 1 hari 1 malam, apartment ini dilengkapi dengan mesin basuh, peti sejuk, dapur, katil queen, set sofa, set meja makan dan ruangnya agak luas untuk anak-anak kami bergerak aktif. Berbaloi sangatlah, kan?

Malam itu, selesai solat maghrib & isyak, kami hanya makan malam & berehat di apartment sahaja kerana masing-masing sudah keletihan mengharungi perjalanan yang agak lama di siang hari tadi.

Pagi esoknya, suami keluar belikan roti canai & nasi lemak untuk kami bersarapan di apartment sebelum menunaikan hajat yang tergendala petang semalam. Yeay, yang penting FREE jacuzzi & sauna!


Jam 12.30 tengah hari, kami check out. Kami kemudiannya pusing-pusing sekitar Putrajaya, sky ride naik tethered balloon, kemudian berhenti di Ayer@8 untuk makan tengah hari di Restoran Tom Yam Thai & santai di tepi tasik. 



Kali pertama naik belon, semua orang pun happy je. Alhamdulillah, dapat juga menikmati keindahan Putrajaya dari atas. Yang penting, si kecil Nazneen Arifah selesa dalam SSC Tugeda Air Dino (limited edition) ni. Memang terbaik! Baby langsung tak meragam. Kedua-dua tangan kita pula bebas nak buat apa sahaja. Nak pimpin tangan anak yang lain ke, nak ambil gambar selfie ke, nak pegang beg ke..bebas! Paling best, pinggang & belakang pun tak sakit. Syok sangat kan?


Turun sahaja dari belon, Muhammad Abeed pula beria-ia nak naik kereta kecil ini. Tapi, naik sekejap sambil posing ambil gambar sahajalah sebab duit tunai tak berapa banyak ada dalam tangan kalau nak sewa kereta ni untuk pusing satu tasik. Khidmat sewa basikal juga ada disediakan di sini. 


Sedang semua orang tengah tenang bersantai, eh, eh...tiba-tiba anak nombor 3 meragam pula! Nak mama gendong dia dalam SSC juga. Maka, si adik terpaksalah mengalah sekejap, bagi dia praktis berjalan dulu sementara mama back-carry kak Nisreen Aisyah yang tengah moody tu.


Mujurlah si adik ni dah kenyang, gembira & ceria je. Seronok sangatlah dia, mama lepaskan dia atas tanah macam tu. Baru 'dapat kaki'lah katakaaan..Hehe



Kakak sulung, Nidaaul Awatif pula sibuk melompat sana sini bersama-sama dengan anak teruna nan seorang. Kami layankan aje! Janji, tak memudaratkan & anak gembira.



Dari Putrajaya, kami menghala ke Cheras untuk menginap semalaman di rumah adik sebelum pagi Ahadnya bertolak ke rumah bapa saudara di Klang.

Selamat pengantin baru buat sepupuku, Ahmad Najmi & Dr. Ima! Baarakallahu lakuma wa baaraka álaikuma wa jamaá bainakuma fii khair. Semoga kekal bahagia hingga ke syurgaNya. Aameen.