Wednesday, August 19, 2015

Panduan "Potty-Training"

Anakanda sudah besar tapi masih belum bebas daripada lampin (diapers) sepenuhnya? Huu..risaunya memikirkan tentang ini! Dahlah harga diapers makin mahal di musim-musim kegawatan ekonomi ni. Anak pula makin meningkat usia dan akan dihantarkan ke tadika dalam masa terdekat. Kebanyakan tadika ada menetapkan syarat untuk tidak menerima kanak-kanak yang masih perlu memakai lampin.

Jadi, apa yang perlu dibuat? Ya, latihan ke tandas (potty-training) perlu dimulakan!

Alhamdulillah, anak sulung kami Nidaaul Awatif berjaya bebas lampin sepanjang waktu siang ketika dia genap berusia 2 tahun. Di usia 4 tahun setengah, barulah Awatif bebas lampin sepenuhnya, siang & malam.

Anakanda kedua, Muhammad Abeed sedikit terlambat untuk memulakan potty-training. Umur 3 tahun 3 bulan baru mula latihan. Namun, alhamdulillah, tak sampai 2 minggu dia berjaya off-diapers, siang & malam! Wah, ibu bapa mana tak gembira, kan?

Di sini, kami kongsikan antara tips & panduan yang kami aplikasikan sewaktu melatih anak-anak dalam potty-training:

  1. Mula segera
  2. Jelas & mudah
  3. Jadual
  4. Penggunaan alat bantu
  5. Ulang & ulang 
  6. Beri penghargaan
1. MULA SEGERA

Ibu bapa boleh memulakan latihan sebaik sahaja anak pandai membuat ayat, contohnya, "Mama, nak susu!". Ini bermaksud bahawa si anak sudah pandai menyuarakan keinginannya apabila dia dahaga. Jadi, kemungkinan besar dia mampu untuk memberitahu kemahuannya yang lain termasuklah untuk membuang air.

2. JELAS & MUDAH

Gunakan perkataan yang jelas & mudah difahami oleh anak secara berperingkat. Apabila sudah melepasi satu peringkat, teruskan peringkat yang seterusnya. Contohnya:

  • Suarakan keinginan: "Kalau adik rasa nak kencing, adik cakap kuat-kuat: 'Mama, nak kencing!'" - Di permulaan peringkat ini, "accidents" pasti akan berlaku, contohnya, dah siap kencing baru beritahu mama yang dia nak kencing. Rasa geram? Memanglah, tapi jangan dimarah anak kita itu. Ingat, dia sedang belajar!
  • Tahu untuk bertindak: "Nak kencing, nak berak, masuk tandas" - Sepertimana peringkat di atas, "keciciran" juga pasti akan berlaku di peringkat ini. Bertenang ya, ibu bapa sekalian. Usah dimaki anak kita itu. Sekurang-kurangnya, dia sudah berada di dalam tandas sebelum siap buang air. Manalah dia tahu, berapa lama masa yang diperlukan untuk sampai ke tandas, betul kan? Mop dan basuh sajalah tempat yang tak sengaja dikotorkan itu. 
3. JADUAL

Mengamalkan jadual "atur kencing" sangat berkesan dalam melaksanakan potty-training. Contohnya, bawakan anak ke dalam tandas setiap 2 jam, dudukkannya & ajarnya untuk buang air kecil dengan membunyikan "Ssshhh.." Tak mengapa jika dia masih belum mahu membuang, ajarkan saja. Teknik ini perlu dilakukan siang & malam sekerap mungkin untuk membiasakan si anak. 

Begitu juga, pastikan anak ke tandas untuk membuang air sebelum tidur malam. Kadang-kadang kita rasa serba salah, rasa kasihan untuk kejutkan anak daripada lena. Jadi, kita pakaikan anak diapers sebelum dia tidur. Cara ini sebenarnya akan melambatkan lagi proses ke arah diaper-free kerana secara tidak langsung si anak akan menganggap "tidak mengapa untuk kencing sewaktu tidur kerana sudah ada lampin". 

Seboleh-bolehnya, kejutkan anak 2-3 jam selepas dia melelapkan mata. Kalau matanya nampak macam susah benar nak celik, angkat anak atau pimpinnya untuk ke tandas. Keesokan harinya, sebaik sahaja bangun dari tidur, terus sahaja bawa anak ke tandas. Penjadualan sebegini sekiranya dilakukan berterusan akan berubah menjadi kebiasaan (habit). 

4. PENGGUNAAN ALAT BANTU

Ibu bapa perlu membuat sedikit pelaburan (investment) jika mahu menggunakan alat bantu. Nama pun, alat bantu, jadi alat-alat bantu bukanlah perkara yang wajib ada jika mahu potty-training berjaya. Namun, ia terbukti boleh mempercepatkan proses potty-training. 
  1. Lampin kain (cloth diapers, CD) - Kami pakaikan anak sulung lampin pakai buang pada waktu malam & CD pada siang hari sejak dia berumur beberapa bulan sehingga berjaya off-diapers di siang hari pada usia 2 tahun. Mungkin sebab itulah dia berjaya bebas lampin pada waktu siang hari lebih awal berbanding adiknya yang hanya sekejap sahaja dipakaikan CD & menggunakan lampai pakai buang di kebanyakan waktu.  
  2. Training pants - seluar ini dibuat daripada material khas yang tidak cepat menyerap air & dibentuk lebih "fit" di sekeliling peha. Jika anak terkencing dalam seluar ini pun, najis tidak akan terus meleleh keluar membasahi lantai. 
  3. Training toilet seat - mangkuk tandas khas ini mudah dialih & dicuci. Terdapat pelbagai bentuk, corak dan warna di pasaran. 
  4. Water proof bed sheet protector - alas cadar kalis air ini boleh dibentangkan di atas tilam sebelum anak tidur. Hanya basuh alas ini sahaja tanpa perlu membasuh cadar & tilam jika anak terkencing sewaktu tidur. 

5. ULANG & ULANG 

Berapa lama masa yang diambil untuk menyelesaikan latihan ini?
Jawapannya, tiada tempoh waktu yang spesifik. Ajar sehinggalah si anak mampu bebas-lampin sepenuhnya. Kuncinya, ulang dan ulang dan ulang lagi cara-cara di atas secara konsisten.

Proses ini bergantung kepada kemampuan & usaha kedua-dua belah pihak; pengajar & pelajar. Oleh itu, pengajar tidak boleh cepat berputus asa & jangan cepat menghukum si pelajar.

6. BERI PENGHARGAAN

Penghargaan sangat penting untuk meningkatkan motivasi seseorang. Begitu juga halnya dengan anak yang sedang mengikuti potty-training. Puji perbuatan anak, berikan pelukan & ciuman ekstra kepada anak jika dia berjaya melakukan sesuatu langkah yang diajar dengan lebih baik berbanding sebelumnya. Tak perlu tunggu betul-betul pandai baru kita memuji. Contohnya, "Bagusnya adik, dah pandai masuk tandas sendiri!" Boleh juga janjikan hadiah yang sesuai mengikut minat anak & kemampuan ibu bapa jika mereka berjaya.

Macam anak kedua kami, dia sangat ingin ke tadika bersama kakaknya. Jadi, kami berikan tawaran, "Kalau Abeed nak pergi sekolah dengan kakak tahun depan, Abeed tak boleh pakai pampers..Abeed kena kencing & berak dalam tandas.." Akhirnya, apabila dia berjaya mencapai misi bebas-lampin, kami sekeluarga memujinya & dia sendiri mengulang-ulang ayat ini dengan gembira: "Tahun depan, Abeed dah boleh pergi sekolah, kan mama? Yeay!"

Akhir kalam, disamping berusaha & berdoa, banyakkan berSABAR, SABAR & SABAR.

Potty-training is a process & a process takes time. So, let's enjoy the process!
Semoga panduan yang dikongsi ini bermanfaat buat semua.
Selamat mencuba!

(Feel free to share..)

No comments:

Post a Comment