Tuesday, June 25, 2019

Bercerai Susu

Arifah datang mendekati mama dan terus baring di ribaan. Letaknya serba tidak kena. Dia toleh ke kanan, kemudian pusing ke kiri. Mukanya digeselkan ke dada mama sambil tangan mulusnya meraba muka mama.

"Mama, nak hisap susu", Arifah mula merengek perlahan.

Aduh, inilah salah satu cabaran dalam bercerai susu! Ujian emosi yang maha berat untuk kedua-dua ibu dan anak dan ini minggu kedua.

Manakan tidak, genap dua tahun "bonding" istimewa ini dibaja dan dijaga. Malah, dari alam rahim lagi "chemistry" unik ini mula tercipta. Subhanallah!

"Arifah nak susu, ya? Nanti mama buatkan dalam cawan, lepas tu minum guna straw", mama cuba menukar topik.

"Arifah nak susu mama", nadanya semakin sayu di situ. Riak mukanya apatah lagi

Allah, kuatkan kami ya Allah!

"Arifah, mama minta maaf, ya sayang. Mama rasa pedih sangat kalau Arifah hisap susu mama. Sakit. Nanti luka lagi, keluar darah", mama cuba menjelaskan seringkas yang mungkin.

Mama memberitahu keadaan yang sebenar. Memang setiap kali anakanda kecil ini menghisap, pedih & perit itu amat dirasai.

Mama pasti, keadaan ini merupakan salah satu kesan perubahan hormon dan berlaku setiap kali mama disahkan hamil. Kawasan areola menjadi kering dan mudah merekah seolah-olah pelembap semulajadi sudah tidak dirembeskan lagi oleh kelenjar Montgomery.

Nursing butter kini menjadi teman akrab mama. Pro-vitamin B5 yang terkandung di dalamnya ternyata dapat membantu menghasilkan sel kulit baru yang lebih sihat dengan lebih cepat.

Mama merangkul erat tubuh mungil Arifah. Berkali-kali mama mencium wajah dan kepala Arifah. Semoga Arifah mengerti bahawa Arifah tetap mama sayangi seperti sebelumnya dan sampai bila-bila.

Jauh di sudut hati, mama menangis sambil mengharap agar Allah kurniakan kebijaksanaan kepada Arifah dalam menangani situasi sukar ini.

Mama yakin dan percaya bahawa Arifah memahami setiap tutur kata mama meskipun umur Arifah baru sahaja mencecah dua tahun. Arifah budak bijak.

Jiwa kita satu dan perasaan kita senada, nak. Ini istimewanya hubungan antara ibu dan anak yang menyusu susu badan ibunya. Jadi, mama dan Arifah pasti mampu mengharunginya bersama-sama!

Mujur, Arifah tidak membentak-bentak tatkala keinginannya tidak dipenuhi. Mama tahu, Arifah sudah kenyang sebenarnya. Masakan tidak, hampir sepinggan nasi berlauk ikan yang mama hidangkan tadi sudah selamat beradu di dalam perut Arifah.

Seronok sekali si kecil ini menghadap hidangan makan malamnya bersama-sama seluruh ahli keluarga. Ditepisnya tangan mama sewaktu mama mahu menyuapnya.

"Arifah nak makan sendiri," ujarnya sambil mengalih sendiri pinggan My Little Pony lebih rapat menghampiri tubuhnya.

Selesai makan malam, mama membiarkan Arifah, abang dan kakak-kakaknya bermain di ruang tamu lebih kurang selama setengah jam. Riuh  rendah suara empat beradik ini bermain memecah keheningan malam.

Sudah menjadi rutin keluarga, sebelum tidur, semua orang akan minum segelas susu.

Arifah memandang susu di dalam gelasnya. Disedutnya perlahan-lahan susu formula yang mama bancuhkan. Rasa dan kandungannya tentulah tidak akan pernah sama dengan susu mama. Akan tetapi, inilah hakikat yang perlu ditelan.

Selesai minum, mama mengajak Arifah, abang dan kakak-kakaknya ke bilik air untuk menggosok gigi seterusnya bersedia untuk tidur.

Jika dulu susu mama yang mendodoi Arifah hingga Arifah terlena, kini hanya dakapan mama dan tepuk-tepuk manja menjadi pengganti.

Durasi dodoi kali ini lebih lama kerana tiada lagi oxytocin si hormon cinta dan endorphin si hormon bahagia yang dapat disalurkan secara terus daripada mama kepada anak kecil ini.

5 minit berlalu.
Mama cuba.
Arifah juga mencuba.

Selepas hampir 15 minit, barulah tertutup kedua-dua mata buah hati mama ini. Alhamdulillah.

Sayu sungguh rasa di hati, namun sangat bersyukur kerana Allah beri peluang kepada mama untuk menunaikan hak Arifah sepanjang tempoh dua tahun ini.

Dua tahun yang penuh onak dan ranjau.
Ironinya, ia juga dua tahun yang amat membahagiakan kita.

Arifah tahu, dua minggu pertama selepas mama melahirkan Arifah, mama terpaksa berlagak seperti katak pekak? Orang sekeliling berterus-terusan memujuk mama supaya menyuap susu formula kepada Arifah.

"Biar cepat sikit turun bacaan serum bilirubin itu".

"Tak kesiankah, tengok anak kena cucuk untuk ambil darah selang sehari?"

Tak kurang juga yang mencadangkan supaya mama titiskan ke dalam mulut Arifah air perahan anggur, herba cina dan "ubat" khas yang boleh dibeli dari sebuah klinik tersohor.

Bukan mama tak tahu, sudah berapa ramai bayi yang menerima "ubat kuning" klinik tersohor itu sudah terpaksa dimasukkan ke wad NICU kerana komplikasi-komplikasi yang pelbagai. Ajaibnya, semua berita itu disenyapkan kerana yang terlibat itu adalah klinik tersohor.

Disuruh juga supaya mama mandikan Arifah dengan pelbagai jenis mandian herba untuk menghilangkan kuning.

"Maknya kenalah ikhtiar", kata mereka.

Ikhtiar sebegitukah yang mereka maksudkan? Oh, tidak sekali-kali mama akan melukakan usus Arifah yang masih belum matang dengan semua bahan itu! Lagi pun, tiada indikasi klinikal yang kukuh untuk mama melakukan sedemikian.

Mama pekakkan telinga. Hanya kata-kata daripada konsultan penyusuan IBCLC ini yang tersemat kukuh dalam minda mama.

"Dalam salur pemakanan bayi yang baru lahir, Allah jadikan protective lining yang sangat hebat. Lapisan ini menjadi benteng daripada serangan kuman. Semua benda selain daripada susu ibu akan "menghakis" lapisan pertahanan ini. Apa akan jadi kemudiannya? Bayi kecil ini berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan kuman".

Mama yakin, titisan-titisan emas yang tak ternilai ini jauh lebih mujarab buat anak-anak mama. Di usia sebegini, usus bayi hanya mampu menyerap susu ibunya secara sempurna, bukan bahan lain.

IgM, mana nak cari segala antibodi ini kalau bukan dalam susu ibu? Walau sehebat mana penciptaan susu formula yang saintis hasilkan, walau semahal mana sekalipun susu formula yang mama mampu beli, ia bukan tandingan.

Semoga setiap usaha dikira oleh Allah sebagai saham buat bekalan mama di alam sana. Amin, ya Mujib!

-11 Januari 2019-

No comments:

Post a Comment