Wednesday, May 15, 2019

Ibu, susu badan banyak tak?

Biasanya, sebelum dibenarkan discaj daripada wad selepas bersalin, selain daripada soalan "bayi dah kencing & berak atau belum?", ibu-ibu juga akan disoal dengan soalan-soalan sebegini samada oleh doktor atau jururawat:

1. Puan, susu badan keluar banyak?
2. Puan, bayi menyusu dengan baik?

Sebelum ibu menjawab kedua-dua soalan di atas, pastikan ibu faham tentang tahap-tahap penghasilan susu ibu & kandungannya serta petanda penyusuan yang efektif.

Sejurus selepas bersalin, bagaimanakah rupanya susu ibu yang terhasil? 

Kalau ibu cari susu yang berwarna putih, memang ibu takkan jumpa. Yang ada ialah titisan emas kolostrum (susu awal). Warnanya daripada jernih hingga kuning keemasan, bersifat pekat & likat dan kuantitinya sedikit. 

Dalam tempoh 24 jam selepas bersalin, dianggarkan 30ml kolostrum terhasil. Susu kolostrum biasanya terhasil hingga hari ke- 3-5 selepas bersalin. Hanya lebih kurang 1 sudu teh sahaja yang diperlukan oleh bayi pada setiap sesi penyusuan. 

Kolostrum yang kaya dengan nutrisi dan antibodi ini juga bersifat laxative (melawas). Ini dapat membantu bayi membuang najis mekonium (hitam) daripada ususnya dengan lebih pantas. 

Apakah "susu banyak" yang dimaksudkan oleh penyoal? Keluar memancut-mancut, meleleh-leleh? Oh, tak mungkin begitu kejadiannya pada hari pertama selepas melahirkan bayi. 

Jadi, soalan no.1 sepatutnya perlu difrasakan semula oleh si penyoal. Kalau tidak, nampak sangat yang menyoal tu kurang maklumat tentang kolostrum sebab susu awal yang bernama kolostrum ini memang kuantitinya sedikit. 

Tak perlu pam payudara untuk menyukat susu yang terhasil kerana kuantitinya yang sedikit itu akan terbazir melekat di corong pam & botol susu sahaja. Lakukan penyusuan secara terus (direct feeding) kerana hisapan bayi ialah stimulasi yang paling bagus untuk mengeluarkan susu ibu. Jika atas sebab-sebab tertentu direct feeding tidak dapat dilakukan, lakukan urutan payudara & perah payudara menggunakan tangan (marmet) sahaja. Tadah guna bekas yang bersih dan berikan susu perahan kepada bayi menggunakan sudu/cawan kecil/picagari.

Secara psikologinya, memang pun soalan no.1 ini sedikit sebanyak akan mengundang stress buat ibu yang belum punya pengalaman & ilmu mendalam tentang penyusuan susu ibu. Sesetengah ibu akan mula menggelabah apabila melihat kolostrum yang sedikit ini dan mulalah mengaitkan setiap tangisan bayinya itu dengan "susu badan tak cukup" hingga memberikan susu formula kepada bayi. 

Apa yang penting di sini, teruskan saja menyusukan bayi dengan betul dan tenang. Kalau tak pasti tentang posisi atau teknik lekapan (latching), jangan malu jangan segan untuk panggil jururawat/doktor untuk dapatkan kepastian. Jika mereka juga tak pasti atau sibuk, mohonlah untuk dirujuk kepada kaunselor daripada Unit Laktasi di hospital tersebut dengan segera kerana mereka lebih arif & berpengalaman untuk membantu.

Buat para ibu, tolong & tolonglah selesaikan bab posisi & lekapan sebelum pulang ke rumah, ya. Ini juga boleh menjadi jawapan kepada persoalan no.2. 

Posisi & pelekapan yang efektif akan menghasilkan penyusuan yang efektif. Apabila penyusuan yang efektif terjadi, barulah bayi dapat menikmati segala khasiat dalam susu ibu, bayi akan kenyang, bayi akan kencing berak dengan lawas dan membantu berat badannya bertambah dengan kadar yang baik.

Yang sebaliknya akan berlaku jika posisi & pelekapan tidak dibuat dengan betul. Malah, ibu juga mungkin akan berhadapan dengan puting melecet/luka jika perkara ini tidak diatasi dengan baik. Oh, pedih & sakit tu! 

Buat para petugas kesihatan, seelok-eloknya, banyakkan menggunakan soalan berbentuk terbuka (open ended question) apabila membuat clinical assessment tentang penyusuan susu ibu & lebih baik anda melihat sendiri cara ibu menyusukan bayi untuk mengenalpasti sebarang masalah yang boleh dibantu, bukan sekadar bertanyakan jawapan "ya atau tidak".

Siapa pun kita, semoga kita semua menjadi ejen yang membantu merealisasikan penyusuan susu ibu, bukan ejen yang membantutkan. ✌💪

No comments:

Post a Comment