Friday, May 3, 2013

Penyusuan Eksklusif: Ilmu Terkini

"Breastfeeding is about fighting. To win the battle, you need the best weapon, the best state of mind, the most up-to-date tactical & technical knowledge and blessings from the beloved ones" 
 
 

Adakah kita masih ingat akan frasa ini: "Membaca Jambatan Ilmu?"
Untuk mengetahui ilmu & maklumat terkini, ibu bapa perlu rajin membaca apa-apa sahaja artikel yang ditulis oleh mereka yang bertauliah & berpengalaman dalam bidang penyusuan susu ibu.

Tak ada masa? Susah nak dapatkan sumber terkini?
Oh, cukuplah dengan alasan-alasan sedemikian! Kita bukan lagi berada di zaman tok kaduk. Kita sekarang berada di zaman siber..apa sahaja boleh dilakukan dengan jari, hatta mencari info berkaitan penyusuan. Tak guna kalau telefon sahaja yang pintar tapi pemiliknya tidak bijak menggunakannya. Sekali sekala, cubalah selak lembaran majalah-majalah keibubapaan yang berada di rak-rak kedai buku, pasti di sana ada sesuatu yang dikongsikan tentang penyusuan susu ibu! Jangan asyik nak shopping baju, beg dan kasut sahaja ya.

Selain daripada membaca, rajin-rajinkan diri untuk mendengar pengalaman mereka yang telah berjaya. Tak salah kalau kita mendengar saranan daripada orang-orang tua, akan tetapi ilmu kita seharusnya sentiasa berkembang dengan lebih baik seiring dengan penemuan-penemuan semasa. Contohnya, untuk memperbanyak penghasilan susu, ibu disarankan untuk minum 2-3L air sehari. Ironinya, ada orang-orang tua berpesan agar jangan minum banyak air semasa dalam pantang, takut rahim mengembang, katanya. Nah, sudah ada satu pertembungan maklumat di sini? Jadi, kita harus mencari fakta untuk memilih maklumat yang sebenarnya.

Jika kita cuba mencari maklumat, pasti kita akan ketemui bahawa air adalah komposisi utama susu ibu. Apabila si ibu kurang minum air, sudah pasti penghasilan susu terjejas. Apa kaitannya pula minum air dalam kuantiti yang banyak dengan pengembangan rahim? Semua sedia maklum bahawa rahim ibu yang baru sahaja bersalin sebaik-baiknya kecut & kembali ke posisi yang asal dalam waktu yang singkat untuk pemulihan kesihatan dalaman ibu itu sendiri. Tahukah ibu bapa yang budiman sekalian, bahawasanya kaedah terbaik untuk mencapai matlamat tersebut adalah dengan mengamalkan penyusuan susu ibu kepada bayi yang dilahirkan? Sewaktu penyusuan berlaku, selain daripada hormon prolactin, hormon oxytocin juga dirembeskan. Hormon oxytocin ini jugalah yang bertanggungjawab dalam pengecutan rahim! Jadi, semakin kerap si ibu menyusukan bayi, semakin cepat kesihatan rahim dapat dipulihkan!

Terlalu banyak ilmu yang harus ibu bapa pelajari. Justeru, jangan sekadar menunggu ilmu itu disuapkan, sebaik-baiknya, berusahalah untuk terus mencarinya! Jika ingin menjayakan penyusuan eksklusif, ibu bapa perlu menguasai ilmu-ilmu berikut:
- kebaikan susu ibu
- cara-cara penyusuan yang betul
- faktor-faktor yang boleh merencatkan penghasilan susu
- kaedah-kaedah untuk meningkatkan penghasilan susu
- berpantang secara sihat
- pemilihan kelengkapan penyusuan yang baik
- pengumpulan stok susu ibu
- pengendalian susu ibu perahan (SIP)
....dan banyak lagi!

Ayuh, jadi ibu bapa yang berilmu!

No comments:

Post a Comment