Monday, April 29, 2013

Penyusuan Eksklusif: 'Minda Positif'

"Breastfeeding is about fighting. To win the battle, you need the best weapon, the best state of mind, the most up-to-date tactical & technical knowledge and blessings from the beloved ones"

Pernah suatu ketika, Mama duduk bersembang dengan seorang rakan sekerja yang juga mempunyai anak kecil.

Rakan: Akak nak let go breast pump akak. Kalau awak ada kawan-kawan yang nak beli yang second-hand punya, beritahu akak ya
Mama: Oh, nak jual? Kenapa?
Rakan: Akak dah tak pam susu. Susu badan sikit, sempat pam sekejap je. Dah lama dah bagi susu formula kepada baby.
Mama: Memang nekad nak jual ke? Kenapa tak simpan je untuk kegunaan bakal anak-anak?
Rakan: Tak naklah simpan. Akak dah fed-up. Akak ni memang jenis susu badan sikit. Tak guna kalau pam pun sebab keluar sikit sangat. Baik akak jual je pam tu.

Nampak tak apa yang Mama nak kongsikan di sini?
Ya, keadaan minda! Ternyata sekali, kakak tersebut tidak mempunyai keadaan minda yang terbaik untuk menjayakan penyusuan eksklusif. Sebaliknya, dia telah menanamkan dalam dirinya cas-cas negatif sedari awal lagi. Lalu, cas-cas negatif tersebut mencetuskan tindakan yang negatif juga. 

Mengikut Stacey H. Rubin dalam bukunya yang berjudul "The ABCs of breastfeeding", pandangan dalaman (internal view) si ibu akan menentukan sama ada penyusuan susu ibu itu berjaya dilaksanakan atau tidak. Fikiran positif tentang penyusuan susu ibu akan membantu seseorang ibu itu dalam mengenali dan mengatasi apa jua cabaran yang bakal menjelma. Semudah ABC, Stacy memberikan penekanan terhadap 3 aspek berikut: Attitude (A), Body (B), Creation (C).

Attitude:

Semak semula apakah sikap peribadi kita terhadap penyusuan susu ibu. Pemikiran dan perasaan negatif akan menghalang jalinan penyusuan antara kita dengan bayi pada masa hadapan. Bagaimanakah sikap kita terhadap persepsi orang lain terutamanya mereka yang mempromosikan pemberian susu formula kepada anak, yang mengatakan bahawa penyusuan eksklusif itu sesuatu yang menyusahkan hidup serta memakan banyak masa?

Justeru, adalah sangat penting untuk si ibu mempunyai pemikiran dan sikap yang positif supaya dirinya dapat menguasai perasaan-perasaan negatif yang tiba-tiba datang menyelubungi. Kalau belum apa-apa lagi sudah putus asa & mengaku kalah, memang akan kalahlah jawabnya. Ingat, biar minda positif sahaja yang menguasai setiap yang negatif!

Body:

Percayakan kemampuan tubuh badan anda! Batang tubuh kita dicipta oleh Yang Maha Pencipta, Yang Maha Mengetahui setiap keperluan makhluknya. Badan kita sebenarnya telah diprogramkan bahawa kita akan menyusukan anak kita sebaik sahaja si kecil itu dilahirkan ke dunia. Seiring dengan perkembangan janin di dalam rahim, payudara si ibu juga sebenarnya sedang melalui beberapa perubahan & perkembangan sebagai persediaan untuk menyusukan nanti. Sel-sel di dalam payudara mula menghasilkan kolostrum (susu awal) sebagai hidangan pertama zuriat kita. Kolostrum berwarna kuning atau keemasan, pekat dan sedikit kuantitinya.

Selain daripada melindungi si kecil  yang baru lahir itu daripada jangkitan kuman, kolostrum juga membantu perut dan ususnya membuat persediaan untuk menerima lebih banyak susu ibu yang lebih matang. Meskipun anak itu lahir lebih awal daripada tarikh jangkaan, badan ibu akan tetap menghasilkan kolostrum & susu ibu. Proses kehamilan & kelahiran itu sendiri sebenarnya sedang mempersiap-siagakan tubuh badan kita dalam segala aspek bagi membolehkan kita menyusukan sendiri zuriat yang bakal lahir. Subhanallah!

Creation:

Cipta pemikiran positif tentang penyusuan susu ibu. Belajarlah bagaimana mahu reset minda kita untuk menjayakan penyusuan susu ibu. Sekiranya kita mempunyai sebarang pemikiran dan perasaan negatif, sekarang merupakan masa yang terbaik untuk kita mengubahnya. Langkah pertama, kenal pasti apakah pemikiran-pemikiran & perasaan-perasaan negatif yang menguasai kita. Kedua, ubah pemikiran & perasaan negatif tersebut kepada pemikiran & perasaan yang positif untuk membentuk pandangan peribadi yang lebih baik berkenaan penyusuan susu ibu. Kemudian, tulis azam kita di kertas & tampalkannya di tempat yang kita mudah untuk melihatnya. Sentiasa bayangkan situasi-situasi yang menarik lagi mendamaikan semasa kita menyusukan zuriat yang kita sendiri lahirkan!

Azam & kuasa visualisasi akan membantu kita membina pemikiran positif tentang penyusuan susu ibu, dan merupakan langkah pertama ke arah mempelajari cara untuk menyusukan dengan jayanya.

No comments:

Post a Comment